[PEGUAM SYARIE MENJAWAB] Harus wasiat semua harta kepada anak

Soalan:
Merujuk permasalahan bekas isteri dari Perlis pada 8 Mei lalu, saya mulai terfikir permasalahan yang mungkin saya hadapi. Saya dan suami mempunyai empat anak dan semuanya perempuan. Ini bermakna kami tidak mempunyai waris anak lelaki. Adakah dibolehkan dalam Undang-Undang Islam bagi kami untuk mewasiatkan harta yang kami ada ketika hidup kepada semua anak kami melalui mana-mana pemegang amanah?

Azizah,
Kuala Lumpur.

Jawapan:

Bagi menjawab persoalan puan, rujukan adalah melalui Bab Wasiat, Kitab Fikah Mazhab Syafie oleh Dr Mustofa Al Khin, Dr Mustofa Al Bugho dan Ali Asy Syarbaji. Hukum asal ketika peringkat awal kedatangan Islam berkaitan wasiat adalah wajib mewasiatkan semua harta kepada ibu bapa dan sanak-saudara. Dalilnya firman Allah bermaksud: Kamu diwajibkan apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika dia ada meninggalkan harta, (hendaklah dia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang yang bertakwa. (Al Baqarah:180)

Namun, kewajipan itu dimansuhkan dengan ayat-ayat dan hadis-hadis yang berkaitan dengan pusaka. Cuma amalan berwasiat masih digalakkan dengan had maksimum satu pertiga saja daripada harta dan diberikan kepada selain ahli waris. Kitab Fikah Mazhab Syafie merujuk Abdullah bin Abbas r.a, berkata: Hukum wasiat terus diamalkan berdasarkan firman Allah bermaksud: Kamu diwajibkan apabila seseorang daripada kamu hampir mati, jika dia ada meninggalkan harta, (hendaklah dia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat…sehinggalah ayat ini dimansuhkan dengan ayat pusaka Abu Daud dalam Kitab Wasiat, Bab Hadis Memansuhkan Wasiat Kepada Ibu bapa dan Kerabat.

Rasulullah bersabda bermaksud: Sesungguhnya Allah mengurniakan hak kepada setiap yang berhak. Tidak harus wasiat untuk pewaris. (Riwayat Abu Daud).

Peraturan asas wasiat, ia hanya boleh diberikan kepada bukan waris. Anak adalah ahli waris, oleh itu merujuk nas, tidak boleh membuat wasiat kepada anak berkenaan. Tujuan peraturan ini adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mengharapkan pahala serta memenuhi segala kekurangan ketika hayat pembuat wasiat. Anak dan waris lain mendapat bahagian mereka melalui pusaka.

Di dalam kes puan, puan ingin mewasiatkan semua harta kepada semua anak perempuan kerana tiada anak lelaki. Jika merujuk nas dan pendapat utama mazhab Syafie, wasiat sebegini hukumnya harus, tetapi tidak boleh dilaksanakan kecuali selepas mendapat persetujuan waris lain. Hanya dengan persetujuan waris lain barulah wasiat itu boleh dilaksanakan. Waris lain puan merujuk sama ada ibu bapa, abang atau adik lelaki puan di mana mereka berhak melalui hukum faraid mendapat bahagian melalui pusaka puan. Oleh itu, sama ada puan dan suami membuat wasiat semua harta atau 1/3 saja kepada anak perempuan saja walaupun melalui mana-mana pemegang amanah, hukum asalnya sama seperti pendapat utama mazhab Syafie itu. Ia juga merujuk sabda Rasullullah s.a.w bermaksud: Tidak harus wasiat kepada waris kecuali diizinkan oleh waris yang lain (Riwayat Daruqutni daripada Ibnu Abbas r.a).

Beberapa perkara perlu diketahui puan berkaitan wasiat kepada waris ini iaitu:

1) Jika wasiat ditujukan kepada waris, penerimaan atau penolakan waris ketika hayat pewasiat tidak memberikan sebarang kesan kerana pewaris tidak mempunyai sebarang hak dalam pusaka ketika hayat pewasiat. Mana-mana waris yang menerima wasiat melalui wasiat ketika hidup pewasiat, boleh menolaknya selepas kematian pewasiat. Mana-mana waris yang menolak harta ketika pewasiat masih hidup, boleh menerimanya selepas kematian pewasiat. Oleh itu, setiap waris tidak terikat dengan mana-mana perjanjian wasiat yang dibuat ketika hayat pewasiat.

2) Penerima wasiat mesti menjadi waris ketika kematian pewasiat, bukan ketika wasiat dibuat. Jika pewasiat mewasiatkan harta kepada saudaranya kerana beliau tidak mempunyai anak, tetapi sebelum pewasiat mati, pewasiat mendapat anak lelaki, wasiat itu sah dan boleh dilaksanakan kerana pada masa kematiannya, saudaranya bukan lagi waris yang berhak menerima pusaka kerana anak lelaki menghalang saudara kandung daripada mendapat pusaka.

3) Jika selepas kematian pewasiat, sebahagian pewaris setuju dan sebahagian lagi membantah, maka hukumnya perlu diperinci. Wasiat dibatalkan daripada bahagian waris membantah dan dilaksanakan pada bahagian waris yang setuju mengikut bahagian mereka dalam pusaka.

4) Jika wasiat berkaitan wakaf dan hadiah dibuat kepada waris ketika pewasiat hampir mati ia juga memerlukan persetujuan waris yang lain.

Merujuk Ahmad Hidayat Buang dalam Bagaimana Membuat Wasiat, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, hikmah waris tidak berhak menerima wasiat daripada pewasiat adalah kerana hak mereka sudah dijamin hukum syarak melalui hukum faraid. Maka, pewasiat tidak wajar merosakkan keseimbangan agihan pusaka secara faraid yang ditetapkan hukum syarak.

0 comments:

Post a Comment

Search This Blog

Tentang Blog Ini

Memberikan info mengenai Islamic Estate planning adalah tujuan utama kewujudan blog ini. Harap dapat berkongsi maklumat dan mencapai satu tujuan yang sama.