[PEGUAM SYARIE MENJAWAB] Harus wasiat semua harta kepada anak

Soalan:
Merujuk permasalahan bekas isteri dari Perlis pada 8 Mei lalu, saya mulai terfikir permasalahan yang mungkin saya hadapi. Saya dan suami mempunyai empat anak dan semuanya perempuan. Ini bermakna kami tidak mempunyai waris anak lelaki. Adakah dibolehkan dalam Undang-Undang Islam bagi kami untuk mewasiatkan harta yang kami ada ketika hidup kepada semua anak kami melalui mana-mana pemegang amanah?

Azizah,
Kuala Lumpur.

Jawapan:

Bagi menjawab persoalan puan, rujukan adalah melalui Bab Wasiat, Kitab Fikah Mazhab Syafie oleh Dr Mustofa Al Khin, Dr Mustofa Al Bugho dan Ali Asy Syarbaji. Hukum asal ketika peringkat awal kedatangan Islam berkaitan wasiat adalah wajib mewasiatkan semua harta kepada ibu bapa dan sanak-saudara. Dalilnya firman Allah bermaksud: Kamu diwajibkan apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika dia ada meninggalkan harta, (hendaklah dia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang yang bertakwa. (Al Baqarah:180)

Namun, kewajipan itu dimansuhkan dengan ayat-ayat dan hadis-hadis yang berkaitan dengan pusaka. Cuma amalan berwasiat masih digalakkan dengan had maksimum satu pertiga saja daripada harta dan diberikan kepada selain ahli waris. Kitab Fikah Mazhab Syafie merujuk Abdullah bin Abbas r.a, berkata: Hukum wasiat terus diamalkan berdasarkan firman Allah bermaksud: Kamu diwajibkan apabila seseorang daripada kamu hampir mati, jika dia ada meninggalkan harta, (hendaklah dia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat…sehinggalah ayat ini dimansuhkan dengan ayat pusaka Abu Daud dalam Kitab Wasiat, Bab Hadis Memansuhkan Wasiat Kepada Ibu bapa dan Kerabat.

Rasulullah bersabda bermaksud: Sesungguhnya Allah mengurniakan hak kepada setiap yang berhak. Tidak harus wasiat untuk pewaris. (Riwayat Abu Daud).

Peraturan asas wasiat, ia hanya boleh diberikan kepada bukan waris. Anak adalah ahli waris, oleh itu merujuk nas, tidak boleh membuat wasiat kepada anak berkenaan. Tujuan peraturan ini adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mengharapkan pahala serta memenuhi segala kekurangan ketika hayat pembuat wasiat. Anak dan waris lain mendapat bahagian mereka melalui pusaka.

Di dalam kes puan, puan ingin mewasiatkan semua harta kepada semua anak perempuan kerana tiada anak lelaki. Jika merujuk nas dan pendapat utama mazhab Syafie, wasiat sebegini hukumnya harus, tetapi tidak boleh dilaksanakan kecuali selepas mendapat persetujuan waris lain. Hanya dengan persetujuan waris lain barulah wasiat itu boleh dilaksanakan. Waris lain puan merujuk sama ada ibu bapa, abang atau adik lelaki puan di mana mereka berhak melalui hukum faraid mendapat bahagian melalui pusaka puan. Oleh itu, sama ada puan dan suami membuat wasiat semua harta atau 1/3 saja kepada anak perempuan saja walaupun melalui mana-mana pemegang amanah, hukum asalnya sama seperti pendapat utama mazhab Syafie itu. Ia juga merujuk sabda Rasullullah s.a.w bermaksud: Tidak harus wasiat kepada waris kecuali diizinkan oleh waris yang lain (Riwayat Daruqutni daripada Ibnu Abbas r.a).

Beberapa perkara perlu diketahui puan berkaitan wasiat kepada waris ini iaitu:

1) Jika wasiat ditujukan kepada waris, penerimaan atau penolakan waris ketika hayat pewasiat tidak memberikan sebarang kesan kerana pewaris tidak mempunyai sebarang hak dalam pusaka ketika hayat pewasiat. Mana-mana waris yang menerima wasiat melalui wasiat ketika hidup pewasiat, boleh menolaknya selepas kematian pewasiat. Mana-mana waris yang menolak harta ketika pewasiat masih hidup, boleh menerimanya selepas kematian pewasiat. Oleh itu, setiap waris tidak terikat dengan mana-mana perjanjian wasiat yang dibuat ketika hayat pewasiat.

2) Penerima wasiat mesti menjadi waris ketika kematian pewasiat, bukan ketika wasiat dibuat. Jika pewasiat mewasiatkan harta kepada saudaranya kerana beliau tidak mempunyai anak, tetapi sebelum pewasiat mati, pewasiat mendapat anak lelaki, wasiat itu sah dan boleh dilaksanakan kerana pada masa kematiannya, saudaranya bukan lagi waris yang berhak menerima pusaka kerana anak lelaki menghalang saudara kandung daripada mendapat pusaka.

3) Jika selepas kematian pewasiat, sebahagian pewaris setuju dan sebahagian lagi membantah, maka hukumnya perlu diperinci. Wasiat dibatalkan daripada bahagian waris membantah dan dilaksanakan pada bahagian waris yang setuju mengikut bahagian mereka dalam pusaka.

4) Jika wasiat berkaitan wakaf dan hadiah dibuat kepada waris ketika pewasiat hampir mati ia juga memerlukan persetujuan waris yang lain.

Merujuk Ahmad Hidayat Buang dalam Bagaimana Membuat Wasiat, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, hikmah waris tidak berhak menerima wasiat daripada pewasiat adalah kerana hak mereka sudah dijamin hukum syarak melalui hukum faraid. Maka, pewasiat tidak wajar merosakkan keseimbangan agihan pusaka secara faraid yang ditetapkan hukum syarak.

Anak Angkat - Wasiat Harta Secara Hibah

Soalan:
 
Saya tertarik dengan isu faraid dan di laman web puan. Contoh yang diberikan ialah mengenai wanita yang ditinggalkan suami. Masalah yang saya hadapi adalah berkenaan dengan harta peninggalan wanita bujang. Saya ditinggalkan oleh bapa sejak kecil tanpa nafkah. Dia tidak bertanggungjawab dan tidak pernah memberi nafkah.
Emak sayalah yang membesarkan saya. Mengikut hukum faraid, sekiranya saya meninggal dunia, sebahagian besar hara peninggalan saya akan diwarisi oleh bapa saya dan adik beradik tiri saya (berlainan emak). Saya mahukan harta peninggalan saya digunakan untuk menjaga kebajikan ibu saya dan anak angkat saya. Bagaimana boleh saya memberikan harta peninggalan saya kepada mereka?
- Perempuan Islam, Kuala Lumpur.

Jawapan: 

Seperti yang puan sedia maklum, Islam telah menetapkan prinsip-prinsip untuk pengagihan harta benda si mati yang beragama Islam, yang secara lazimnya dikenali sebagai hukum faraid. Prinsip-prinsip am hukum faraid terkandung dalam al-Quran, Surah An-Nisa, Ayat 11-4. Memandangkan persoalan puan bukan berhubung dengan hukum faraid secara khususnya, maka jawapan ini tidak akan mendalami isu tersebut. 

Persoalan puan adalah berhubung cara-cara untuk meninggalkan harta benda puan kepada ibu dan anak angkat puan. Seorang Islam boleh meninggalkan wasiat, tetapi wasiat tersebut mesti mematuhi syarat-syarat berikut.

1. Suratcara wasiat tersebut tidak boleh mewasiatkan lebih daripada satu pertiga harta benda orang yang memberi wasiat.

2. Penerima wasiat tersebut mestilah seorang yang tidak disenaraikan sebagai waris dalam hukum faraid - syarat kedua ini adalah hukum mengikut mazhab Sunni.
Bagaimanapun, kebanyakan ulama Sunni juga berpendapat bahawa wasiat yang meninggalkan harta benda kepada salah seorang waris yang tersenarai dalam hukum faraid (contohnya, anak perempuan si mati) masih sah sekiranya waris-waris yang lain bersetuju dengan isi kandungan wasiat tersebut selepas kematian pemberi wasiat. Namun, memandangkan masalah yang mungkin timbul, wasiat sedemikian adalah tidak dinasihatkan bagi seseorang Islam. Dalam kes ini, anak angkat puan bukanlah seorang waris yang tersenarai dalam hukum faraid. Maka, puan hanya boleh mewasiatkan harta benda yang nilainya tidak melebihi satu pertiga nilai jumlah keseluruhan harta benda kepada anak angkat puan.

Sekiranya harta benda yang diwasiatkan di bawah wasiat tersebut didapati kelak adalah lebih daripada satu pertiga nilai keseluruhan harta benda pemberi wasiat, maka waris-waris yang sah boleh memohon untuk mengeluarkan sebahagian harta benda yang terkandung dalam wasiat tersebut supaya nilai yang diberi tidak melebih had satu pertiga.
Ibu puan pula merupakan seorang waris yang tersenarai dalam hukum faraid. Menurut perkiraan hukum faraid, ibu puan akan berhak mendapat satu pertiga dan ayah berhak mendapat dua pertiga dari harta benda puan. 

Di negara kita, nisbah pembahagian harta benda menurut hukum faraid secara lazimnya ditentukan oleh Mahkamah Syariah melalui sijil faraid. Sekiranya puan telah meninggalkan wasiat, maka pembahagian harta benda kepada ayah dan ibu akan dilakukan selepas pengagihan harta benda kepada penerima wasiat.

Hukum faraid tidak akan terpakai sekiranya si mati, sebelum kematiannya telah memindahkan harta bendanya kepada orang lain. Jadi, dalam keadaan sekarang ini, puan bolehlah mempertimbangkan sama ada ingin memindahkan harta benda yang tertentu kepada ibu atau anak angkat semasa hayat puan (sekiranya puan tidak ingin memberi wasiat kepada anak angkat puan). Melalui proses ini, waris-waris puan yang lain tidak akan berhak langsung kepada harta benda puan kelak.
Proses pemindahan harta benda ini boleh dilakukan dalam beberapa cara. Contohnya, jika puan memiliki sebuah rumah, puan boleh memindahkan rumah tersebut kepada nama ibu atau anak puan menerusi prosedur di bawah Kanun Tanah Negara 1965.

Selain itu, puan juga boleh menghadiahkan rumah tersebut menggunakan konsep syariah yang dipanggil hiba kepada ibu atau anak puan dan pendaftaran pemindahan tersebut di pejabat tanah (di bawah Kanun Tanah Negara 1965) boleh dilakukan kemudian. Jika puan mengambil khidmat seorang peguam, maka peguam tersebut akan memberi nasihat mengenai selok-belok proses pemindahan ini.
Perlu dijelaskan bahawa hanya bayaran terhadap proses pemindahan atau hibah yang perlu dilakukan dan tiada apa-apa bayaran lain yang perlu dibayar.

Isu yang paling penting di sinilah adalah puan mesti memindahkan harta benda yang ingin dipindahkan semasa hayat puan. Sekiranya terdapat syarat bahawa pemindahan harta benda akan berlaku hanya selepa kematian, maka ia tidak sah dari segi syariah dan hukum faraid akan menentukan pembahagian harta.

Hibah itu juga mestilah diterima oleh si penerima. Jika si penerima tidak tahu bahawa ia telah dihibahkan sesuatu benda, maka hibah tersebut mungkin tidak sah dan hukum faraid yang akan menentukan cara pembahagian benda tersebut. 

- Panel Peguam Syarie Sisters In Islam

Bahagi Harta Kepada Dua Isteri

Soalan

Bagi lelaki yang berpoligami, bagaimanakah proses pembahagian harta pusaka dibuat (jika suami meninggal dunia). Adakah pembahagian ini akan dilakukan sama rata atau berdasarkan tempoh lama seseorang wanita itu menjadi isterinya?
Contohnya suami berkahwin lagi selepas 15 tahun bersama isteri pertama. Adakah isteri kedua berhak menuntut harta yang diperoleh sepanjang 15 tahun yang diperoleh ketika bersama isteri pertama? Bagaimana pula halnya dengan anak daripada isteri pertama dan kedua? Adakah mereka juga mempunyai hak sama?

KAMAL
Kuantan, Pahang

Jawapan

Seorang isteri tidak kira isteri kedua, ketiga atau keempat, berhak mendapat habuan daripada pusaka peninggalan suaminya tidak kira berapa lama dia menjadi isteri.

Begitu juga dengan anak daripada suami mereka, mereka ada hak yang ditentukan dalam faraid, kecuali jika suami meninggalkan wasiat yang berlainan dalam pembahagian harta.

Yang membezakan antara isteri pertama dan kedua mengikut tempoh perkahwinan ialah harta sepencarian. Harta sepencarian suami dengan isteri pertama mestilah berbeza daripada isteri kedua yang baru beberapa hari bersama suami.

Dalam hal ini, mula-mula dibahagikan harta sepencarian dulu pada setiap yang berhak. Selepas selesai baru dibahagikan hak suami pada semua isteri yang ada.

Isteri Nusyuz, boleh tuntut Harta Sepencarian?

Soalan :

Saya duda anak 3,telah bercerai dengan bekas isteri pernikahan pertama saya atas dasar dia menyukai lelaki lain.ketiga-tiga anak berada bersama saya.Tapi dengan apa yang dia buat pada saya dan anak-anak,patut kah dia dapat harta sepencarian..Terima kasih

Jawapan :

Terima kasih kerana mengetengahkan soalan yang cukup baik. Sepertimana yang kita ketahui, harta sepencarian adalah harta yang diperolehi bersama-sama secara langsung atau tidak langsung melalui perkahwinan yang sah. Dalam kes pihak tuan, meskipun si isteri dan tuan bercerai atas dasar si isteri menyukai lelaki lain, beliau masih lagi mempunyai hak untuk menuntut harta sepencarian ke atas harta-harta tuan yang diperolehi semasa tempoh perkahwinan. Beliau perlu menuntutnya di mahkamah dan bahagiannya tidak boleh dijangka dan ianya bergantung kepada bukti-bukti yang berjaya ditunjukkan kepada mahkamah bahawa beliau ada memberi sumbangan atas harta tersebut. Selagi ada namanya ikatan, segala itu lah akan wujud harta sepencarian. Ianya tidak seperti hadhanah iaitu hak penjagaan anak2 yang mana hadhanah melibatkan penilaian sikap kedua-dua pasangan yang bercerai dan meneliti segala aspek bagi menentukan siapa yang lebih berhak ke atas penjagaan anak-anak. Terima kasih.

Search This Blog

Tentang Blog Ini

Memberikan info mengenai Islamic Estate planning adalah tujuan utama kewujudan blog ini. Harap dapat berkongsi maklumat dan mencapai satu tujuan yang sama.