Anak Angkat - Wasiat Harta Secara Hibah

Soalan:
 
Saya tertarik dengan isu faraid dan di laman web puan. Contoh yang diberikan ialah mengenai wanita yang ditinggalkan suami. Masalah yang saya hadapi adalah berkenaan dengan harta peninggalan wanita bujang. Saya ditinggalkan oleh bapa sejak kecil tanpa nafkah. Dia tidak bertanggungjawab dan tidak pernah memberi nafkah.
Emak sayalah yang membesarkan saya. Mengikut hukum faraid, sekiranya saya meninggal dunia, sebahagian besar hara peninggalan saya akan diwarisi oleh bapa saya dan adik beradik tiri saya (berlainan emak). Saya mahukan harta peninggalan saya digunakan untuk menjaga kebajikan ibu saya dan anak angkat saya. Bagaimana boleh saya memberikan harta peninggalan saya kepada mereka?
- Perempuan Islam, Kuala Lumpur.

Jawapan: 

Seperti yang puan sedia maklum, Islam telah menetapkan prinsip-prinsip untuk pengagihan harta benda si mati yang beragama Islam, yang secara lazimnya dikenali sebagai hukum faraid. Prinsip-prinsip am hukum faraid terkandung dalam al-Quran, Surah An-Nisa, Ayat 11-4. Memandangkan persoalan puan bukan berhubung dengan hukum faraid secara khususnya, maka jawapan ini tidak akan mendalami isu tersebut. 

Persoalan puan adalah berhubung cara-cara untuk meninggalkan harta benda puan kepada ibu dan anak angkat puan. Seorang Islam boleh meninggalkan wasiat, tetapi wasiat tersebut mesti mematuhi syarat-syarat berikut.

1. Suratcara wasiat tersebut tidak boleh mewasiatkan lebih daripada satu pertiga harta benda orang yang memberi wasiat.

2. Penerima wasiat tersebut mestilah seorang yang tidak disenaraikan sebagai waris dalam hukum faraid - syarat kedua ini adalah hukum mengikut mazhab Sunni.
Bagaimanapun, kebanyakan ulama Sunni juga berpendapat bahawa wasiat yang meninggalkan harta benda kepada salah seorang waris yang tersenarai dalam hukum faraid (contohnya, anak perempuan si mati) masih sah sekiranya waris-waris yang lain bersetuju dengan isi kandungan wasiat tersebut selepas kematian pemberi wasiat. Namun, memandangkan masalah yang mungkin timbul, wasiat sedemikian adalah tidak dinasihatkan bagi seseorang Islam. Dalam kes ini, anak angkat puan bukanlah seorang waris yang tersenarai dalam hukum faraid. Maka, puan hanya boleh mewasiatkan harta benda yang nilainya tidak melebihi satu pertiga nilai jumlah keseluruhan harta benda kepada anak angkat puan.

Sekiranya harta benda yang diwasiatkan di bawah wasiat tersebut didapati kelak adalah lebih daripada satu pertiga nilai keseluruhan harta benda pemberi wasiat, maka waris-waris yang sah boleh memohon untuk mengeluarkan sebahagian harta benda yang terkandung dalam wasiat tersebut supaya nilai yang diberi tidak melebih had satu pertiga.
Ibu puan pula merupakan seorang waris yang tersenarai dalam hukum faraid. Menurut perkiraan hukum faraid, ibu puan akan berhak mendapat satu pertiga dan ayah berhak mendapat dua pertiga dari harta benda puan. 

Di negara kita, nisbah pembahagian harta benda menurut hukum faraid secara lazimnya ditentukan oleh Mahkamah Syariah melalui sijil faraid. Sekiranya puan telah meninggalkan wasiat, maka pembahagian harta benda kepada ayah dan ibu akan dilakukan selepas pengagihan harta benda kepada penerima wasiat.

Hukum faraid tidak akan terpakai sekiranya si mati, sebelum kematiannya telah memindahkan harta bendanya kepada orang lain. Jadi, dalam keadaan sekarang ini, puan bolehlah mempertimbangkan sama ada ingin memindahkan harta benda yang tertentu kepada ibu atau anak angkat semasa hayat puan (sekiranya puan tidak ingin memberi wasiat kepada anak angkat puan). Melalui proses ini, waris-waris puan yang lain tidak akan berhak langsung kepada harta benda puan kelak.
Proses pemindahan harta benda ini boleh dilakukan dalam beberapa cara. Contohnya, jika puan memiliki sebuah rumah, puan boleh memindahkan rumah tersebut kepada nama ibu atau anak puan menerusi prosedur di bawah Kanun Tanah Negara 1965.

Selain itu, puan juga boleh menghadiahkan rumah tersebut menggunakan konsep syariah yang dipanggil hiba kepada ibu atau anak puan dan pendaftaran pemindahan tersebut di pejabat tanah (di bawah Kanun Tanah Negara 1965) boleh dilakukan kemudian. Jika puan mengambil khidmat seorang peguam, maka peguam tersebut akan memberi nasihat mengenai selok-belok proses pemindahan ini.
Perlu dijelaskan bahawa hanya bayaran terhadap proses pemindahan atau hibah yang perlu dilakukan dan tiada apa-apa bayaran lain yang perlu dibayar.

Isu yang paling penting di sinilah adalah puan mesti memindahkan harta benda yang ingin dipindahkan semasa hayat puan. Sekiranya terdapat syarat bahawa pemindahan harta benda akan berlaku hanya selepa kematian, maka ia tidak sah dari segi syariah dan hukum faraid akan menentukan pembahagian harta.

Hibah itu juga mestilah diterima oleh si penerima. Jika si penerima tidak tahu bahawa ia telah dihibahkan sesuatu benda, maka hibah tersebut mungkin tidak sah dan hukum faraid yang akan menentukan cara pembahagian benda tersebut. 

- Panel Peguam Syarie Sisters In Islam

0 comments:

Post a Comment

Search This Blog

Tentang Blog Ini

Memberikan info mengenai Islamic Estate planning adalah tujuan utama kewujudan blog ini. Harap dapat berkongsi maklumat dan mencapai satu tujuan yang sama.