KEPERLUAN BERWASIAT

Terdapat 3 sebab utama mengapa perlu memiliki dokumen wasiat.

Terdapat begitu banyak sebab mengapa anda perlu memiliki dokumen wasiat, namun terdapat tiga sebab utama yang seharusnya diberi perhatian berat khususnya bagi seseorang Muslim Mukmin.

    1.        MEMPERCEPAT PROSES PENYELESAIAN PUSAKA


Apabila berlaku kematian, sebahagian besar harta-harta simati akan dibekukan. Dengan memiliki dokumen wasiat, proses untuk mendapatkan Geran Probet (surat kuasa untuk mentadbir pusaka) oleh wasi yang telah dinamakan di dalam wasiat lebih mudah dan cepat. Lebih lengkap dokumen wasiat (seperti penyenaraian harta, hutang, harta sepencarian dsbnya) maka lebih cepat proses pentadbiran harta pusaka dapat diselesaikan.

Secara umumnya, tempoh penyelesaian pusaka dengan adanya wasiat ialah di antara 4 – 12 bulan berbanding di antara 2 – 5 tahun (atau lebih) tanpa dokumen wasiat. Lebih lama proses penyelesaian, maka selama itulah juga kesengsaraan yang akan dirasai oleh waris-waris yang kita tinggalkan.

    2.       MELUNASKAN HUTANG DAN TANGGUNGAN

Pada zaman ini, boleh dikatakan sebahagian besar daripada kita berhutang, ada yang banyak, ada yang sedikit. Berhutang atau meminjam untuk keperluan adalah dibenarkan dalam Islam, namun Islam turut menekankan dengan tegas mengenai tanggungjawab untuk membayar hutang, walaupun selepas kematian.

Antara peringatan yang disabdakan oleh Rasulullah saw:

Sesungguhnya orang yang berhutang terpenjara di kuburnya sehingga hutang tersebut diselesaikan (oleh saudara-maranya).

( Hadis riwayat At-Tabrani)

Malah tidak terkecuali bagi mereka yang mati syahid sepertimana sabda Rasulullah s.a.w.:

"Diampuni semua dosa orang yang mati syahid kecuali hutang."
( Hadis riwayat Muslim)


Berdasarkan hadis-hadis di atas, bermakna seseorang Muslim itu amat memerlukan waris-waris & saudara-mara mereka yang masih hidup untuk menyelesaikan segala tanggungan hutang yang ada selepas kematiannya.



   3.        MENYEMPURNAKAN HAK DAN HASRAT

- untuk yang tersayang (yang masih hidup selepas kematian anda)
- untuk diri anda (yang pasti akan mati!)


a)       Menyempurnakan HAK
(waris yang ditinggalkan)

Menurut Islam, selepas kematian seseorang Muslim, maka wujudlah hak-hak tertentu ke atas harta yang ditinggalkannya. Hak-hak tersebut telahpun ditentukan sendiri oleh ALLAH secara khusus di bawah hukum faraid. Pembahagian faraid kepada yang berhak hukumnya adalah WAJIB untuk ditunaikan, dan FARDHU KIFAYAH kepada umat Islam (khususnya waris-waris) untuk menyelesaikannya.

Bagaimanapun terdapat salah faham dalam masyarakat Melayu kita di mana ramai yang merasakan bahawa mereka tidak perlu membuat wasiat kerana telah adanya hukum faraid. Persoalannya, apakah jaminan bahawa mereka (waris-waris) tersebut akan mendapat hak mereka jika kita sendiri tidak membuat langkah-langkah awal bagi memastikan hukum tersebut dapat dilaksanakan dengan sempurna?

Sedarkah anda bahawa umat Islam kita masih jauh ketinggalan dan gagal dalam melaksanakan hukum faraid ini? Realitinya, sebanyak sejuta kes tanah pusaka di Malaysia (laporan Pejabat Tanah) dianggar bernilai RM38 bilion masih tidak dapat diselesaikan kerana masalah pewarisan dan 90% daripadanya adalah milik orang Melayu (yang rata-ratanya beragama Islam). Ini bermakna begitu banyak sekali harta-harta umat Islam yang terbeku dan begitu ramai yang tidak mendapat bahagian hak mereka termasuk mereka yang sepatutnya mendapat hak faraid. Kini timbul persoalan dari segi hukumnya, siapakah yang akan menanggung dosa-dosa ini?

Keadaan di atas berlaku akibat kelalaian dan kegagalan umat Islam sendiri dalam membuat langkah-langkah persediaan ketika hidupnya. Oleh itu, apakah langkah dan persediaan kita sendiri supaya keadaan ini tidak akan berlaku kepada harta-harta kita pula? Dengan persediaan yang baik dan melalui dokumen wasiat yang lengkap dan sempurna, sudah tentu akan dapat MENJAMIN hak-hak untuk mereka yang tersayang (ibu, ayah, isteri, suami, anak-anak) akan mendapat hak mereka (termasuk hak harta sepencarian pasangan) sekaligus hukum faraid dapat ditunaikan.

b)       Menyempurnakan HASRAT
(pahala berkekalan)
Di samping hak-hak yang memang telah termaktub dalam hukum, kita juga boleh menyempurnakan hasrat dan niat murni kita yang lain khususnya untuk TUJUAN KEBAJIKAN. Melalui wasiat, hasrat untuk membantu atau membela mereka yang tidak mendapat bahagian faraid dapat ditunaikan seperti waris terdinding, cucu yang kematian ayah, anak angkat, ibu bapa angkat, ahli keluarga asal muallaf yang masih tidak beragama Islam dan sebagainya (terhad 1/3 daripada pusaka bersih).

Begitu juga niat untuk menginfaqkan harta melalui amalan sedekah jariah dan berwaqaf untuk manfaat ummah dan ganjaran pahala yang berkekalan sebagaimana sabda Rasulullah saw:

Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang sentiasa  mendoakannya.

( Hadis riwayat Muslim)


  KESIMPULAN

KEMATIAN ADALAH PASTI, cuma yang belum pasti ialah BILA?

YANG PASTI, hari ini kita masih lagi merasai nikmat hidup. Ketika masih hidup inilah kita harus beringat!

Ingat pesan Rasulullah saw melalui sabdanya:

Ingat lima perkara sebelum datang lima perkara:

1.       Waktu sihat sebelum tibanya waktu sakit

2.       Waktu muda sebelum tibanya waktu tua

3.       Waktu kaya sebelum tibanya waktu miskin

4.       Waktu lapang sebelum tibanya waktu sempit

5.       Waktu hidup sebelum mati

Hari ini, kita masih ada peluang untuk merancang dan membuat persediaan. Kita masih ada kesempatan untuk memilih dan berusaha melaksanakan apa yang kita inginkan. Tapi malangnya, ramai di antara kita memilih untuk BERTANGGUH dan terus BERTANGGUH. Alasannya tiada masa! Sedarkah anda, ini bermakna anda kini tergolong dalam kategori orang yang telah kesempitan waktu! Berdasarkan hadis di atas ia merupakan kategori yang keempat dan di kedudukan yang amat kritikal dan merbahaya sekali! Apa tidaknya, dengan kesibukan dan kesempitan masa, sudah pasti tidak ada apa yang boleh kita lakukan untuk  membuat sebarang persediaan, melainkan hanya kesibukan kita mengejar kehidupan dunia yang tidak pasti bila kesudahannya hidup kita.

Ingatlah, semua nikmat ini akan hilang dan semua kesempatan ini akan luput, sebaik sahaja malaikat Izrail menjemput kita. TIADA lagi ‘Peluang Kedua’ untuk kita, TIADA lagi perkataan ‘Nanti Dulu’ dalam kamus kita, tiada apa-apa lagi yang mampu kita lakukan, selain amalan dan persediaan-persediaan yang telah kita lakukan ketika kita masih hidup ini.

0 comments:

Post a Comment

Search This Blog

Tentang Blog Ini

Memberikan info mengenai Islamic Estate planning adalah tujuan utama kewujudan blog ini. Harap dapat berkongsi maklumat dan mencapai satu tujuan yang sama.