HIBAH

Hibah dan wasiat merupakan dua instrumen penting dalam perancangan harta menurut undang-undang Islam. Hibah ialah pemberian harta yang berlaku semasa hidup pemberi hibah, sedangkan wasiat ialah pemberian harta yang berlaku selepas kematian pewasiat. Kedua-dua instrumen ini digalakkan dalam Islam, di mana sekiranya ia dilakukan dengan betul dan selaras dengan kehendak syarak maka ia boleh mengelakkan berlaku pertikaian dan perebutan harta. Melalui hibah dan wasiat juga dapat membantu kaum kerabat yang memerlukan bantuan. Terdapat tanggapan bahawa dengan melakukan hibah dan wasiat maka dia telah menyalahi ketepatan hukum faraid. Tanggapan ini tidak tepat kerana kedua dua instrumen ini juga sebenarnya diberi fokus dan tempatnya yang tersendiri di dalam Islam. Justeru di sini saya akan cuba mengupas isu-isu berkaitan dengan hibah dan wasiat dari segi hukum hakam dan aplikasinya di Malaysia.

1. KONSEP HIBAH DALAM ISLAM

1.1 Pengertian Hibah

Hibah dari segi bahasa bermaksud pemberian sama ada dalam bentuk ain atau selainnya. Ia  merangkumi hadiah dan sedekah. Ketiga-tiga istilah ini mempunyai pengertian yang hampir sama. Perbezaannya dari aspek tujuan pemberian itu, di mana sedekah ialah suatu pemberian yang bertujuan untuk mendapat pahala di akhirat dan ia biasanya dari yang kaya kepada yang miskin. Manakala hadiah pula ialah pemberian untuk memuliakan seseorang dan biasanya ia ada hubungkait dengan sesuatu perkara. Dengan ini dapat dirumuskan bahawa setiap sedekah dan hadiah adalah hibah, tetapi bukan semua hibah adalah sedekah dan hadiah.

Hibah pada istilah syarak ialah suatu akad yang mengandungi pemberian milik oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan (iwad). Secara lebih khusus lagi, hibah ialah suatu akad pemberian milik ain harta daripada satu pihak kepada pihak yang lain tanpa balasan (iwad) semasa hidup secara sukarela, bukan mengharapkan pahala di akhirat dan memuliakan seseorang, dengan menggunakan lafaz ijab dan qabul atau seumpamanya.

Berdasarkan definisi di atas, dapat disimpulkan ciri-ciri hidah adalah seperti berikut:
(i)    Suatu akad pemberian milik harta kepada sesuatu pihak.
(ii)   Harta yang boleh dihibah ialah ain harta, bukannya hutang atau manfaat.
(iii)  Akad hibah dibuat tanpa mengenakan sebarang balasan (iwad).
(iv) Akad hibah berkuat kuasa semasa hidup pemberi hibah.
(v)  Ia dibuaT secara sukarela tanpa paksaan.
(vi) Akad dibuat bukan bertujuan untuk mendapat pahala atau memuliakan seseorang tertentu.


1.2 Hukum dan Pensyariatan Hibah

Dari segi hukum, hibah adalah suatu amalan yang sunat dan digalakkan dalam Islam  terutama sekali kepada kaum keluarga terdekat. Amalan ini adalah berdasarkan kepada al- Quran, al-Sunnah dan ijmak. Antara ayat al-Quran yang menggalakkan amalan hibah ialah sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian daripada mas kahwin itu dengan senang hati, makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya” (Surah al-Nisa’ ayat 4).

“... dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang memintaminta dan (memerdekakan) hamba sahaya” (Surah al-Baqarah ayat 177).


1.3 Rukun Hibah dan Syaratnya

Sesuatu akad hibah tidak akan terbentuk melainkan setelah memenuhi rukun dan syarat seperti berikut:

(i) Pemberi hibah (al-Wahib)
Pemberi hibah hendaklah seorang yang berkeahlian seperti sempurna akal, baligh dan rushd. Pemberi hibah mestilah tuan punya barang yang dihibahkan. Oleh kerana pemilik harta mempunyai kuasa penuh ke atas hartanya, hibah boleh dibuat tanpa had kadar serta kepada sesiapa yang disukainya termasuk kepada orang bukan Islam, asalkan maksudnya tidak melanggar hukum syarak.

(ii) Penerima hibah (al-Mawhub lahu)
Penerima hibah boleh terdiri daripada sesiapa sahaja asalkan dia mempunyai keupayaan memiliki harta sama ada mukallaf atau bukan mukallaf. Sekiranya penerima hibah bukan mukallaf seperti masih belum akil baligh atau kurang upaya, hibah boleh diberikan kepada walinya atau pemegang amanah bagi pihaknya. Penerima hibah mestilah menerima harta yang dihibahkan dan berkuasa memegangnya. Dengan kata lain, penguasaan dan kawalan terhadap harta mestilah diberikan kepada penerima hibah.

(iii) Barang atau harta yang dihibahkan (al-Mawhub)
Barang atau harta yang hendak dihibahkan itu perlu memenuhi syarat-syarat berikut:

  •  Ia hendaklah barang atau harta yang halal.
  • Ia hendaklah sejenis barang atau harta mempunyai nilai di sisi syarak.
  • Barang atau harta itu milik pemberi hibah.
  • Ia boleh diserah milikkan.
  • Ia benar-benar wujud semasa dihibahkan. Contohnya, tidak sah hibah barang yang belum ada seperti
    menghibahkan anak lembu yang masih dalam kandungan atau hibah hasil padi tahun hadapan sedangkan masih belum berbuah dan sebagainya.
  • Harta itu tidak bersambung dengan harta pemberi hibah yang tidak boleh dipisahkan seperti pokok-pokok, tanaman dan bangunan yang tidak termasuk tanah. Mengikut mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali, hibah terhadap harta yang berkongsi yang tidak boleh dibahagikan adalah sah hukumnya. Dalam Islam, barang yang masih bercagar (seperti rumah) boleh dihibahkan jika mendapat keizinan dari penggadai atau peminjam.

(iv) Sighah iaitu ijab dan kabul
Sighah hibah merupakan lafaz atau perbuatan yang membawa makna pemberian dan penerimaan hibah. Ia tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

  •  Ada persambungan dan persamaan di antara ijab dan qabul.
  •  Tidak dikenakan syarat-syarat tertentu.
  •  Tidak disyaratkan dengan tempoh masa tertentu. Hibah yang disyaratkan dengan tempoh tertentu seperti yang berlaku dalam al-‘umra dan al-ruqba adalah sah hukumnya tetapi syarat tersebut adalah terbatal.

Di antara contoh lafaz ijab secara terang (sarih) ialah seperti kata pemberi “Aku berikan barang ini kepadamu” atau secara kinayah seperti kata pemberi “Aku telah menyerahkan hakmilik kepadamu” atau “Aku jadikan barang ini untukmu”. Sementara contoh lafaz qabul (penerimaan) pula ialah seperti “aku terima”, “aku redha” dan sebagainya.

Dalam undang-undang Islam, sesuatu hibah itu sudah sah dengan adanya ijab dan qabul dengan perkataan atau apa-apa cara yang membawa erti memberi milik harta tanpa balasan (‘iwad). Mengikut mazhab Maliki dan Syafie, penerimaan (qabul) itu hendaklah diambilkira dalam menentukan sah atau tidaknya sesuatu hibah. Sebaliknya, golongan Hanafi menganggap bahawa ijab sahaja sudah memadai untuk menentukan sahnya sesuatu hibah itu.


1.4 Penerimaan Barang (al-Qabd) dalam Hibah

Istilah al-qabd (penerimaan barang) bermaksud mendapat sesuatu, menguasainya dan boleh melakukan tasarruf terhadap barang atau harta tersebut. Mengikut mazhab Hanbali dan Maliki, penerimaan barang tidak disyaratkan dalam sesuatu hibah, malah memadai dengan akad semata-mata. Ini bererti apabila berlaku kematian salah seorang atau salah satu pihak sama ada pemberi hibah atau penerima hibah sebelum penyerahan barang, maka hibah itu tidak terbatal. Sebaliknya, mengikut Abu Hanifah dan Syafie, penerimaan barang merupakan salah satu dari syarat sah hibah. Oleh itu, apabila berlaku kematian salah satu dari dua pihak sebelum penyerahan barang, maka hibah itu terbatal.


Dalam mazhab Syafie, al-qabd merupakan syarat luzum, ertinya akad hibah tidak sempurna dan tidak berkuat kuasa dengan ijab dan qabul semata-mata, kecuali selepas al-qabd. Sekiranya al-qabd tidak berlaku maka akad hibah merupakan akad yang tidak mengikat. Oleh itu, pemberi hibah berhak menarik balik hibah tersebut selama mana harta berkenaan berada dalam pemilikannya. Bagi mempastikan akad hibah itu sempurna dan menjadi satu akad yang mengikat, al-qabd tertakluk kepada syarat-syarat berikut:
 

  • Mendapat kebenaran dan keizinan pemberi hibah secara sarih.
  • Harta yang dihibah tidak bercampur dengan harta lain.
  • Penerima hibah berkeahlian iaitu baligh dan berakal. Bagi kanak-kanak dan orang gila (atau tidak berkeahlian) maka walinya atau pemegang amanah boleh menerima harta hibah bagi pihaknya.

Cara penerimaan barang (al-qabd) adalah berbeza-beza mengikut jenis harta sama ada harta tak alih atau harta alih. Bagi harta tak alih, al-qabd boleh berlaku dengan cara mengosongkan harta itu, menguasainya dan melakukan tasarruf terhadap harta tersebut seperti menyerah kunci dan seumpamanya. Manakala bagi harta alih pula, al-qabd boleh berlaku dengan cara mengambil harta itu, memindah atau mengasingkan harta tersebut.
dengan harta-harta lain.


  1.5 Hukum Penarikan Balik atau Pembatalan Hibah

Apabila sempurna sesuatu akad hibah dengan memenuhi rukun dan syaratnya serta berlaku penyerahan dan penerimaan barang (al-qabd), maka harta itu menjadi milik penerima hibah sekalipun tanpa balasan (‘iwad). Namun demikian, adakah hibah berkenaan boleh ditarik balik selepas itu menjadi perselisihan di kalangan fuqaha’ seperti berikut:

(i) Menurut pendapat mazhab Hanafi, pemberi hibah boleh tetapi makruh menarik balik hibah
    yang telah diberikan dan dia boleh memfasakhkan hibah tersebut walaupun telah berlaku
    penyerahan (qabd), kecuali jika hibah itu dibuat dengan balasan (‘iwad).

(ii) Menurut pendapat mazhab Syafie, Hanbali dan sebahagian fuqaha’ mazhab Maliki
     penarikan balik hibah boleh berlaku dengan semata-mata ijab dan qabul. Tetapi
     apabila disertakan dengan peyerahan dan penerimaan barang (al-qabd) maka hibah
     berkenaan tidak boleh ditarik balik kecuali hibah yang dibuat oleh bapa (termasuk
     juga ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya selama mana harta
     itu tidak ada kaitan dengan orang lain.

(iii) Menurut pendapat Imam Ahmad dan mazhab Zahiri, pemberi hibah tidak boleh
     (haram) menarik balik hibah yang telah dibuat kecuali hibah bapa (termasuk juga
     ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya. Ini adalah berdasarkan
     kepada hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Orang yang menarik balik hibahnya sama seperti anjing yang memakan balik muntahnya...” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Secara umumnya, para fuqaha’ bersetuju mengenai keharusan pembatalan hibah sekiranya ia dilakukan secara redha meredhai antara pemberi dan penerima hibah atau melalui keputusan hakim. Sungguhpun Islam membenarkan penarikan balik hibah yang dibuat oleh bapa (termasuk
juga ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya, tetapi ia terikat dengan syarat bahawa harta tersebut masih lagi di dalam pemilikan anaknya (cucunya). Sekiranya harta itu terkeluar dari kekuasaan dan pemilikan anaknya (cucunya) seperti telah dijual, diwakaf atau dihibah kepada orang lain dan harta itu telah diterima oleh penerima hibah (orang lain), maka hibah berkenaan tidak boleh ditarik balik lagi.


1.6 Kadar Harta yang Boleh Dihibah

Islam tidak menetapkan kadar atau had tertentu bagi harta yang hendak dihibahkan. Ini kerana harta yang hendak dihibahkan itu merupakan milik pemberi hibah, maka terpulanglah kepada pemberi hibah membuat pertimbangan terhadap kadar harta yang ingin dihibahkan. Walaupun begitu, Islam menggalakkan hibah diberikan secara adil, lebih lebih lagi jika diberikan kepada anak-anak. Jumhur ulamak (Hanafi, Maliki dan Syafie) berpendapat bahawa sunat menyamakan pemberian di antara anak-anak dan pemberian yang lebih kepada salah seorang daripada mereka adalah makruh hukumnya, walaupun pemberian itu sah. Bagi Abu Yusuf, melebihkan pemberian kepada sebahagian daripada anak-anak adalah diharuskan jika ibu bapa tidak berniat menimbulkan bahaya kepada anak-anak yang lain. Sekiranya ibu bapa berniat sedemikian, maka menjadi kewajipan mereka menyamakan pemberian tersebut. Menurut mazhab Hanbali, keadilan dalam pemberian hibah kepada anak-anak merupakan perkara yang wajib. Manakala menurut Imam Malik, tidak boleh memberi hibah semua harta kepada sesetengah anaknya dan tidak kepada yang lain.

Menurut pendapat Hanafi, Syafie, Maliki dan Abu Yusuf, cara pemberian harta yang adil kepada anak-anak semasa hayat ialah dengan cara menyamakan pemberian tersebut tanpa membezakan di antara anak lelaki dan anak perempuan. Sebaliknya, golongan Hanbali dan Muhammad bin Hassan al-Shaybani berpendapat bahawa keadilan yang dikehendaki dalam pemberian adalah mengikut kadar mereka dalam pembahagian harta pusaka, iaitu bahagian anak lelaki menyamai dua bahagian anak perempuan. 
 

0 comments:

Post a Comment

Search This Blog

Tentang Blog Ini

Memberikan info mengenai Islamic Estate planning adalah tujuan utama kewujudan blog ini. Harap dapat berkongsi maklumat dan mencapai satu tujuan yang sama.